Penyanyi era 80-an, Norshila Amin telah mengangkat sumpah laknat sebanyak lima kali bagi menyangkal tuduhan berhubung dakwaannya menipu wang milik lapan selebriti yang terlibat dalam festival Brunei pada bulan April yang lalu.

Menurut penyanyi 53 tahun itu, sumpah berkenaan dibuat bagi menafikan dakwaan pelakon Lana Nodin yang menyebarkan fitnah sehingga mendatangkan malu kepada dia dan keluarganya. Difahamkan pembantu Norshila, Nurrul Admiena Norrizan turut mengangkat sumpah laknat berkenaan.

“Bersaksikan Al-Quran, saya dan anak-anak mengangkat sumpah laknat bagi membersihkan nama kami yang telah difitnah.

Loading...

Saya bersumpah saya tidak pernah membuat penipuan wang lapan orang artis iaitu Sheila Mambo, Encik Mimpi, Jasmin Ashraff, Rozie Othman, Zul Yahya, Ainina Ahmad B, Liza Abdullah dan Aiman Tino pada bulan April lalu ketika di Brunei.

Apa yang saya lakukan ini semata-mata kerana Allah dan sekiranya tidak benar apa kami katakan, kami reda dengan kemungkaran Allah,” katanya.

Norshila ketika ditemui media menjelaskan mengenai fitnah berkenaan selain insiden dia bertengkar dengan Lana pada festival beli-belah di Singapura beberapa minggu yang lalu.

Mengulas campur tangan Roslan Shah, Norshila Amin memberitahu bahawa dia tidak pernah mengaitkan nama pengacara berkenaan dalam apa jua situasi.

“Saya akui wujud pertengkaran dengan Lana tetapi semasa kami bergaduh baik saya atau Lana langsung tidak menyebut atau mengaitkan namanya.

Roslan tiada di tempat kejadian jadi saya tidak tahu siapa dan bagaimana dakwaan pergaduhan kami itu sampai ke telinganya,” jelasnya.

Norshila juga meminta kesemua peniaga dan artis yang menyebar fitnah untuk sama-sama mengangkat sumpah laknat.

“Saya sekeluarga ingin memaklumkan kami tidak menuntut permohonan maaf daripada Lana atau Roslan, rakan peniaga dan artis yang menyebar fitnah tersebut selain mereka yang mengutuk dan mengeji.

Kami menuntut mereka sama-sama mengangkat sumpah laknat supaya membenarkan kata-kata mereka adalah benar dan sekiranya tidak benar laknat Allah akan jatuh kepada mereka.

Bagaimanapun saya tetap buka ruang untuk berbincang secara baik dan bermaaf-maafan selain menyelesaikan perkara ini dengan baik,” katanya.

Bahkan difahamkan Norshila turut membuat laporan polis terhadap Lana dan Roslan Shah berhubung kenyataan fitnah dilemparkan terhadap mereka sekeluarga.

Sumber: mStar

Loading...