ISRAEL bertindak menutup sempadannya dengan Gaza hari ini, sebagai tindak balas terhadap serangan roket terbaru oleh pejuang Palestin.

“Berikutan isu keselamatan dan selepas penilaian keselamatan, pintu sempadan Kerem Shalom dan Erez ditutup,” kata kenyataan tentera Israel semalam.

Penutupan Kerem Shalom itu bermakna barangan tidak lagi boleh dibawa masuk ke Gaza yang dikepung tembok selain menjadi pintu keluar masuk pejalan kaki oleh penduduk Gaza.

Tentera Israel bagaimanapun, tidak menyatakan berapa lama pintu sempadan itu akan ditutup.

Loading...

Sejak Presiden Amerika Syarikat mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel, serangan roket dan mortar dari Gaza ke wilayah Israel, berlaku hampir setiap hari, termasuk yang terbaru hari ini.

Berikutan bedilan roket yang tidak membawa kemusnahan di wilayah Israel hari ini, pesawat Zionis membedil tiga lokasi di Gaza yang didakwa kemudahan tentera Hamas.

Menurut tentera Israel, serangan itu menyasar kem latihan dan tempat simpanan senjata Hamas.

Belum ada laporan kematian atau kecederaan akibat serangan itu.

Sumber: Harian Metro

“Sekiranya Palestin-Israel Setuju, Ia Akan Berakhir Dengan Baik” – Donald Trump nafi memihak kepada Israel

WASHINGTON: Amerika Syarikat menafikan sekeras-kerasnya dakwaan negara dunia, khususnya Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), yang menganggap Washington bertindak memihak Israel dalam isu Baitulmaqdis.

Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, Heather Nauert berkata, keputusan pengisytiharan yang dibuat Presiden Donald Trump minggu lalu adalah salah satu dari perancangan pelan damai. Menurutnya, Trump masih dengan pendirian sebagai perantara dalam pelan damai Israel-Palestin dan mahukan yang terbaik untuk kedua-dua negara terbabit.

“Saya fikir anda semua tahu, Presiden komited terhadap proses perdamaian seperti yang telah dilakukan, dan tidak pernah berubah. Kenyataan retorik yang banyak dilemparkan ketika ini sebenarnya boleh menjadi penghalang kepada proses damai di rantau itu. Kami bekerja keras ke arah itu dan menyusun perancangan rapi untuk memastikan manfaat diterima kedua-dua Israel dan Palestin,” jelasnya pada satu sidang media di Washington.

Menjelaskan lebih lanjut berhubung dakwaan buruk negara dunia, Nauert berkata, Amerika Syarikat hanya akan memberi fokus kepada kata akhir yang dipersetujui kedua-dua belah pihak.

“Amerika Syarikat akan menyokong penyelesaian dua keadaan itu. Kami telah lama bercakap mengenai perkara ini. Dan sekiranya kedua-dua pihak bersetuju mengenai perkara ini, maka ia akan berakhir dengan baik,” jelasnya.

Iktiraf Baitulmaqdis, AS berdolak-dalik

Amerika Syarikat mendakwa mereka komited dengan usaha berterusan untuk mencapai perjanjian damai Israel-Palestin, beberapa hari selepas Presiden Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Kenyataan dibuat Duta Amerika Syarikat ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Nikki Haley ketika mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan yang bersidang berhubung keputusan Trump itu.

“Saya beri jaminan sekali lagi, presiden dan pentadbirannya kekal komited dengan proses damai,” kata Haley.

Keputusan Trump telah mencetuskan kemarahan dan bantahan masyarakat antarabangsa dengan protes diadakan di kedutaan-kedutaan Israel dan Amerika Syarikat.

Sekurang-kurangnya dua rakyat Palestin terbunuh dan ratusan lagi cedera dalam bantahan di sempadan Gaza.

Haley bagaimanapun mempertahankan tindakan Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dengan menyatakan bahawa ‘kedutaan AS di seluruh dunia ditempatkan di ibu negara dan Israel tidak seharusnya berbeza’.

“Pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel tidak bermakna AS menyebelahi mana-mana pihak,” tambah Haley.

Keputusan menentukan ibu negara akan dibuat ketika rundingan antara pihak berkuasa Israel dan Palestin.

Sementara itu Wakil Tetap Palestin ke PBB, Riyad Mansour, berkata AS tidak seharusnya terlibat dalam proses damai Israel-Palestin.

“Tidak ada satu pihak yang boleh monopoli proses damai terutamanya mereka yang mempunyai kecenderungan menyokong pihak yang menakluki dan mengambil hak individu lain,” katanya.

Sumber: ASTRO AWANI

 

Loading...