Hikayat Hang Tuah ialah sebuah epik kepahlawanan yang merentasi sepanjang zaman naik turun kerajaan Empayar Melaka. Hang Tuah merupakan seorang laksamana yang terutama serta pahlawan Melayu yang taat kepada rajanya terutama semasa pemerintahan Sultan Mansur Shah di Melaka pada abad ke-15.

Pada lewat hidupnya, beliau diutuskan meminang seorang puteri yang tinggal di puncak Gunung Ledang. Beliau gagal dalam tugas itu, dan disebabkan perasaan malu, Hang Tuah terus hilang dan langsung tidak dinampak lagi, dan terus hilang tak pulang-pulang.

Namun begitu setelah berzaman kini orang ramai boleh melihat wajah sebenar Laksamana Hang Tuah selepas gambar pahlawan itu dicetak di atas setem eksklusif keluaran Persatuan Sejarah dan Warisan Melayu Duyong (Pesawad).

Pengerusi Pesawad, Khalid Hussin berkata, wajah pada setem itu menyamai 99 peratus wajah pahlawan Hang Tuah yang terkenal ketika pemerintahan Kesultanan Melaka pada abad ke-15.

Loading...

Gambar ini milik peribadi Ahli Bersekutu Pesawad, Datuk Dr Ibrahim Ghaffar yang bersetuju untuk mendedahkan dan berkongsi wajah Hang Tuah kepada orang ramai selepas Pesawad mengemukakan permohonan.

Khalid berkata, setem memaparkan wajah Hang Tuah yang telah mula digunakan untuk penghantaran Kad Raya oleh Pesawad itu diwujudkan bertujuan menaikkan jati diri orang Melayu.

Sementara itu, Dr Ibrahim berkata, potret lukisan Hang Tuah itu terhasil pada 1989 selepas beberapa kali bertemu dengan pahlawan itu di alam ghaib bermula pada 1988.

“Selepas beberapa kali bertemu dan wajah sama tampil, saya tidak ragu-ragu lagi bahawa memang dialah Hang Tuah lalu saya minta bantuan seorang rakan melukis potret Hang Tuah berdasarkan cerita saya,” katanya.

Lagi Cerita Hang Tuah.

Hang Tuah Berbangsa Cina
Oleh Shahabudeen Jalil

Ramai di kalangan anggota masyarakat kita terutamanya orang-orang Melayu menganggap Hang Tuah adalah legenda pahlawan Melayu. Pada hakikat sebenarnya Hang Tuah bukanlah dari keturunan Melayu sebagaimana yang disangkakan. Itulah yang bakal dihuraikan dalam artikel ini.

Selama ini orang-orang Melayu telah terkeliru atau mungkin tertipu dengan kedudukan Hang Tuah sebagai legenda pahlawan Melayu yang dibangga-banggakan. Hang Tuah sebenarnya telah diMelayukan untuk tujuan kemegahan semacam bentuk yang tercatat pada Robin Hood.

Di dalam bilik-bilik darjah, dewan-dewan kuliah atau seminar bermotifkan sejarah atau kajian sejarah hanya membincangkan tentang kepahlawanan, kebijaksanaan serta kesetiaan Hang Tuah. Kisah Hang Tuah yang diagung-agungkan ini telah menenggelamkan keadaan sebenar tentang asal keturunannya.

Di kalangan masyarakat Melayu dewasa ini telah timbul semacam keraguan tentang pahlawan mereka ini, apabila penghormatan kepada pahlawan mereka mula dipersendakan dengan reaksi-reaksi melampau seperti kelihatan dalam filem Hang Tuah.

Keraguan terhadap kedudukan Hang Tuah sebagai pahlawan Melayu telah menghasilkan satu penyelidikan dijalankan terhadap asal usul keturunan secara hipotesis. Jika pepatah Melayu sendiri telah mengatakan “bahasa jiwa bangsa” dan “manusia mati meninggalkan nama” .

Bagaimana pula kita hendak menafikan kenyataan “nama menunjukkan bangsa”. Bahasa “nama” merupakan identifikasi yang cukup jelas untuk mengetahui jenis sesuatu bangsa itu.
Bukti yang dapat menerangkan asal-usul Hang Tuah setakat ini, hanyalah dapat disandarkan pada namanya. Oleh itu satu kajian secara hipotesis telah dijalankan dengan bersandarkan kepada “nama” manusia untuk memperolehi jawapan tentang asal-usul Hang Tuah sebenarnya.

Dalam perbendaharaan nama-nama orang Melayu semasa zaman kesultanan Melayu Melaka, tiada terdapat nama-nama seumpama Hang Tuah, Hang Kasturi, Hang Jebat, Hang Lekir, Hang Lekiu, ringkasnya ringkasan yang bermula dengan “Hang”. Sejarah juga telah mencatatkan nama-nama dari bangsa Cina yang bermula dengan Hang, Tan, Maa dan Lee. Ia bergantung kepada suku kaum atau asal-usul keturunan mereka dari wilayah tertentu dari China.

Kemungkinan untuk mendakwa bahawa gelaran “Hang” telah dianugerahkan oleh Raja-Raja Melayu juga tiada asasnya.

Mengikut kertas kerja yang dihasilkan oleh Mohd. Yunus Ibrahim dari Jabatan Sejarah UKM dengan tajuk “Melaka 1400-1511 Dari Aspek Kemasyarakatan,” cuma menyatakan bahawa sesuatu penghormatan, ketaatan atau kedudukan adalah diberi gelaran seperti Bendahara, Paduka Raja, Temenggung, Laksamana, Shahbandar dan Mandulika.

Mengikut buku “Sejarah Melayu” edisi W.G. Shellabear penerbitan Malaya Publishing House Ltd. Singapore halaman 123-131, menyatakan tentang Tun Perpatih Putih, iaitu utusan Sultan Mansur Shah ke negeri China telah membawa balik bersamanya seramai 500 orang dayang serta Puteri Hang Li Po. Sultan Mansur Shah dikatakan telah berkahwin dengan puteri dari China ini dan telah menghasilkan anak bernama Paduka Mamat.

Perkara yang menarik dari edisi W.G. Shellabear ini ialah munculnya nama puteri Hang Li Po. Hasil perkahwinan “campur” antara puteri Hang Li Po dengan Sultan Mansur Shah, telah dikurniakan seorang putera dan telah diberi nama Paduka Mamat. Nama Paduka Mamat adalah nama Melayu dan tidak pula berlaku nama “Paduka Hang Mamat” sebagai penghargaan kepada puteri Hang Li Po, contohnya. Sejarah telah membuktikan bahawa nama-nama dari keturunan Cina biasanya bermula dengan Hang, Tan, Maa dan Lee bergantung kepada suku kaum mereka dan dari wilayah tertentu asal mereka.

Jika dihubungkaitkan dengan nama Hang Tuah dari sebutan loghat Cina adalah berbunyi seperti Hang Too Ah. Nama Hang Jebat berbunyi Hang Jee Fatt, Hang Lekir pula seperti Hang Lee Ker, manakala Hang Lekiu seperti Hang Lee Kiew. Mengikut prosedur tentang suku kata nama bangsa atau keturunan Cina, biasanya cuma terdiri dari 3 suku kata sahaja. Nama Hang Kasturi pula diragui kerana 4 suku kata walaupun ia bermula dengan perkataan Hang. Perkataan Kasturi pula ada berbaurkan loghat bahasa Melayu.

Terdapat 3 andaian hasil kajian secara hipotesis yang dijalankan.

Pertama : Hang Kasturi adalah berbangsa Melayu tetapi bergaul rapat dengan anak cucu dari rombongan puteri Hang Li Po.

Kedua : Nama sebenarnya ialah Kasturi tetapi telah digelar Hang Kasturi oleh 4 orang rakan karibnya yang berketurunan Cina sehingga menjadi sebutan yang kekal.

Ketiga : Mungkin nama Cina sebenar Hang Kasturi sukar disebut oleh masyarakat tempatan. Oleh itu mereka telah memberikannya nama baru mengikut loghat orang Melayu tempatan dan nama ini telah diterima dengan baik oleh beliau.

Perkara lain yang menarik ialah petikan kertas kerja Ong Hak Ching. Jabatan Sejarah UKM ada mengatakan bahawa Sultan Mansur Shah telah memberikan tempat kediaaman di Bukit Cina kepada puteri Hang Li Po serta 500 orang dayang-dayangnya. Anak-anak cucu mereka digelar “biduanda Cina” juga bermakna golongan yang dilindungi. Sama ada yang sudah memeluk Islam atau masih memeluk agama asal mereka.

Terdapat 3 andaian secara hipotesis mengenai hal ini.

Pertama : Tidak kesemua dari anggota rombongan puteri Hang Li Po yang memeluk agama Islam.

Kedua : Hang Too Ah, Hang Jee Fatt, Hang Lee Ker, Hang Lee Kiew, adalah keturunan dari rombongan puteri Hang Li Po.

Ketiga : Keempat-empat sahabat ini kemudiannya telah memeluk agama Islam tetapi mengekalkan sebutan nama mengikut loghat bahasa Melayu atas sebab-sebab tertentu, seperti Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Lekir dan Hang Lekiu.

Hal yang lebih lanjut mengenai Hang Kasturi. Telah timbul percanggahan pendapat sejak dahulu lagi, sepertimana kajian secara hipotesis ini meragukan tentang nama sebenar Hang Kasturi.

Percanggahan pendapat ini berlaku antara pengarang “Sejarah Melayu” dan pengarang “Hikayat Hang Tuah” mengenai siapa sebenarnya telah menderhaka kepada Sultan Melaka. Pengarang Sejarah Melayu menuduh Hang Kasturi manakala pengarang Hikayat Hang Tuah Pula menuduh Hang Jebat.

Pertama :Tersirat sesuatu hal yang unik dan tersembunyi tentang kedua-dua tokoh pahlawan ini sehingga tidak ada satu kata sepakat di kalangan kedua pengarang serta pakar sejarah lampau.

Kedua : Pengarang “Sejarah Melayu” telah menggunakan bahan dalam penulisannya secara mengambil pendapat lisan dan tiada ada satu penyeledikan terperinci, kerana ia menyentuh kisah-kisah yang terlalu luas serta hal-hal yang menyeluruh.

Ketiga : Pengarang “Hikayat Hang Tuah” adalah lebih formal kerana menggunakan semacam bentuk kajian sehingga dapat menggariskan hal-hal peribadi Hang Tuah secara lebih detail.

Hasil kajian secara hipotesis ini telah membuktikan pengarang Hikayat Hang Tuah mempunyai banyak kelebihan dan penulisannya tentang hal Hang Jebat yang telah menderhaka kepada Sultan, adalah diterima mengikut hukum asal. Rumusan daripada kajian yang dijalankan telah menghasilkan penemuan baru yang melibatkan kedudukan Hang Tuah sebagai legenda pahlawan Melayu. Mengikut kajian hipotesis ini, Hang Tuah merupakan pahlawan yang telah diMelayukan demi untuk kemegahan atau simbol kepada orang-orang Melayu. Kita lihat bagaimana hipotesis ini menerangkan asal-usul Hang Tuah.

Hang Tuah adalah anak cucu kepada keturunan rombongan puteri Hang Li Po yang datang ketika pemerintahan Sultan Mansur Shah. Nama sebenar Hang Tuah ialah Hang Too Ah. Tetapi bertukar kepada nama sebutan Hang Tuah apabila pahlawan ini memeluk agama Islam dan berkhidmat kepada Sultan Melaka.PengIslaman Hang Tuah telah mempengaruhi 3 orang rakan karibnya iaitu Hang Jee Fatt, Hang Lee Ker dan Hang Lee Kiew. Keempat-empat sahabat baik ini juga bergaul rapat dengan Kasturi, iaitu rakan sebaya mereka yang berbangsa Melayu.

Mereka juga menggelar Kasturi dengan gelaran Hang Kasturi sebagai tanda satu persahabatan yang abadi.

Kelima-lima sahabat ini mula masyhur di kalangan istana apabila mereka menyelamatkan Bendahara dari serangan orang mengamuk. Mereka berlima kemudiannya memeluk agama Islam. Nama-nama mereka mengikut loghat Melayu telah tersebar dengan cepat dan meluas samada di kalangan istana atau orang-orang Melaka ketika itu termasuk nama Hang Kasturi.

Tiada bantahan yang pernah dibuat ketika itu kerana masyarakat Melayu zaman itu telahpun menganggap anak cucu dari rombongan puteri Hang Li Po sama seperti saudara Melayu mereka. Demikianlah serba ringkas kisah Hang Tuah yang berasal daripada keturunan puteri Hang Li Po dari kajian hipotesis ini.

Berdasarkan hipotesis ini juga bererti orang-orang Melayu telah kehilangan seorang pahlawan lagenda yang selama ini mereka bangga-banggakan. Walaupun demikian orang-orang Melayu telah terselamat daripada tuduhan menderhaka kepada Sultan. Hang Jebat atau nama asalnya Hang Jee Fatt yang telah menderhaka kepada Sultan bukanlah daripada keturunan orang Melayu Jati.

Berdasarkan hipotesis ini juga bererti orang-orang Melayu telah kehilangan seorang pahlawan lagenda yang selama ini mereka bangga-banggakan.Walaupun demikian orang-orang Melayu telah terselamat daripada tuduhan menderhaka kepada Sultan. Hang Jebat atau nama asalnya Hang Jee Fatt yang telah menderhaka kepada Sultan bukanlah daripada keturunan orang Melayu Jati?

Polemik Hang Tuah
Oleh Yusri Abdul Malek
yusrimalek@hmetro.com.my

BENARKAH Hang Tuah dan Kesultanan Melayu Melaka wujud atau mitos semata-mata?

Dalam buku sejarah dan filem diuar-uarkan kehebatannya tetapi jika pahlawan ini benar-benar wujud di mana buktinya?

Ini persoalan besar yang ditimbulkan ramai pengkaji sejarah tempatan sama ada di kalangan rakyat biasa atau tokoh akademik sedangkan bukti nyata atau fizikal tidak menyokong kemegahan zaman kesultanan yang diceritakan dalam Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah.

Di Melaka saja, yang menjadi lokasi zaman kegemilangan Sultan Melaka pada kurun ke-13 dan 14, tiada satu kubur atau makam sultan yang memerintah Melaka wujud begitu juga dengan beberapa pembesar atau orang kenamaan lain yang terkenal.

Begitu juga ketiadaan monumen lain seperti tapak asal istana sultan dan barangan kebesarannya yang penting sebagai bukti sejarah.

Apa yang ada di Melaka hanya peninggalan sejarah penjajah Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun sedangkan tinggalan sejarah kesultanan Melayu Melaka boleh dikatakan tiada langsung.

Mungkin itu yang ruginya kerana masyarakat Melayu tidak gemar mendokumentasi bahan sejarah yang ada menyebabkan apabila runtuh sesuatu kerajaan atau ditakluk negara lain, sejarah yang ada terus berkubur begitu sahaja.

Perdebatan mengenai persoalan timbul semula apabila baru-baru ini, akhbar ini menyiarkan dakwaan seorang lelaki warga Singapura, Ismail Mohamed Yaacob yang menyatakan dia adalah generasi ke-12 keturunan Hang Tuah, iaitu laksamana terbilang pada zaman kegemilangan Sultan Melaka.

Beliau hadir dengan bukti termasuk naskhah Hikayat Hang Tuah dan dua gelang bertatah batu petir yang kononnya digunakan moyangnya itu.

Malah, dia yang secara bersendirian mengkaji sejarah nenek moyangnya itu sedia berdebat dengan mana-mana pihak yang mempersoalkan kewujudan Hang Tuah.

Katanya, dia tiada kepentingan apa-apa dengan mengaku sebagai cucu Hang Tuah tetapi hanya sekadar untuk menunjukkan Hang Tuah memang wujud dan bukan cerita mitos Melayu.

Tokoh sejarah, Profesor Emeritus Datuk Khoo Kay Kim pula berpendapat walaupun ada Hikayat Hang Tuah yang boleh dirujuk tetapi naskhah itu tidak dianggap ‘historiografi’ yang tepat kerana digarap dalam pelbagai versi yang sukar ditentukan versi mana yang dijadikan rujukan tepat kepada pengkaji sejarah.

Menurutnya, sudah banyak kajian dibuat mengenai Hang Tuah dan sejarah kesultanan Melayu Melaka oleh tokoh akademik dan sejarah tetapi kebanyakan kajian itu tidak pernah menemui bukti tepat serta sahih.

“Dalam dokumen China juga tidak mencatat nama Hang Tuah sebaliknya hanya Laksamana,” katanya.

Sehingga kini, Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) masih membisu sama ada akan menjalankan kajian berdasarkan bukti terbaru dikemukakan Ismail atau tidak dengan alasan tidak memiliki kepakaran sedangkan ia penting sebagai sejarah bangsa Melayu Melaka.

Seorang pengkaji sejarah tempatan, Kamaruzzaman Ali, dari Padang Temu, Melaka melalui suratnya menyatakan fikirannya semakin bercelaru sejak kemunculan Ismail yang mendakwa cucu Hang Tuah.

Katanya, sebagai peminat sejarah Kesultanan Melayu Melaka, dia telah lama membuat kajian sendiri tetapi malangnya kesan yang boleh dibanggakan bahawa kerajaan Melayu Melaka seperti yang digambarkan kehebatannya seolah-olah seperti kisah dongeng zaman dahulu kala.

Ini disebabkan sehingga kini belum dapat dibuktikan empayar kerajaan Melayu Melaka ini benar-benar wujud megah di bumi Melaka kira-kira 600 tahun lalu.

“Jika benar, kenapa pengkaji sejarah masih gagal menjejak tapak terakhir istana sultan Melaka terakhir atau lain-lain bekas istana sultan, senjata, kubur, keluarga diraja yang jumlahnya ramai.

“Daripada kajian saya, hanya dua kubur diraja Melaka yang dapat saya temui iaitu makam Sultan Alaudin Riayat Shah II di masjid Kampung Raja Pegoh, Muar dan Sultan Mahmud Shah (sultan Melaka terakhir) di Palalawan Kabupaten Kerinchi, Riau, Indonesia serta Puteri Tun Teja (permaisuri Sultan Mahmud Shah) di Pulau Samak, Merlimau,” katanya.

Kamaruzzaman berkata, antara kubur pembesar istana yang dijejakinya ialah Bendahara Tun Tepok yang dikebumikan di Kampung Bendahara tepi Sungai Segamat, Johor serta Bendahara Paduka Raja dalam kawasan Sekolah Kebangsaan Melaka Pindah di Alor Gajah.

“Hanya itu yang dapat ditemui sedangkan dalam sejarah begitu hebat sekali sultan, pembesar dan pahlawannya. Jika mereka mati tentu dikebumikan di tempat terpilih dan agak tinggi tempatnya kerana mereka dianggap berkedudukan tetapi mana semua itu? Adalah tidak logik ia dimusnahkan penjajah ketika menjajah negeri ini.

“Takkan kubur itu musnah semua sekali sedangkan kubur askar biasa orang Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun yang hanya sekejap memerintah Melaka boleh dikesan hingga hari ini,” katanya.

Tujuan mendedahkan bukan mencari publisiti tetapi ingin menarik perhatian Perzim untuk menjalankan kajian terperinci.

Tiada guna muzium hanya memaparkan artifek yang tiada kaitan dengan institusi kesultanan Melayu Melaka.

Sebaliknya artifek yang ada hanya mengesahkan Melaka pernah dijajah.
Perzim perlu mencari kebenaran sejarah ini bagi mengelak generasi akan datang menjadi semakin keliru.

©The New Straits Times Press (M) Berhad

Loading...